LAPORAN HARIAN [SABTU, 07 APRIL 2018]

KUALA KURAU, 07/04/2018 – Pada hari kedua, kami telah siap berpakaian lengkap seawal jam 7 pagi dan bersarapan nasi goreng bersama-sama keluarga angkat sebelum berangkat ke SK Telok Pial bagi meneruskan aktiviti bersama para pelajar.


         










           Kami sampai di SK Telok Pial pada pukul 7.45 pagi dan bersiap sedia untuk aktiviti kami yang pertama iaitu zumba. Kami mulakan dengan senaman ringan untuk memanaskan badan dan kemudian berzumba berlatarbelakangkan dua lagu iaitu ‘Gummy Bear’ dan ‘Xi Shua Shua’. Para fasilitator telah memimpin pergerakan Zumba supaya mudah ditiru oleh murid-murid. Mereka kelihatan sangat gembira dan telah melakukan pergerakan Zumba dengan sangat bersemangat.

            Setelah penat berzumba, kami berehat selama 15 minit sebelum melakukan pembahagian tugas untuk gotong royong membersihkan dewan SK Telok Pial. Para pelajar telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan  mengemas, kumpulan menyapu dan kumpulan menyusun kerusi. Objektif aktiviti ini adalah untuk mencantikkan dewan sekolah supaya mereka lebih bersemangat untuk belajar, secara tidak langsung memupuk semangat cintakan sekolah dalam diri mereka. Kami, para fasilitator juga telah berpecah kepada tiga kumpulan. Kumpulan yang pertama bertugas untuk membantu pelajar dalam kerja-kerja pembersihan dan mengawal para pelajar, kumpulan kedua pula bertugas untuk membeli barang kelengkapan untuk hiasan dewan sekolah SK Telok Pial, manakala kumpulan yang terakhir telah ditugaskan untuk mula memotong kayu dan mengecat papan untuk hiasan. Aktiviti ini telah berjalan selama dua jam iaitu dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi.














            Pada pukul 11 pagi, kami telah mengadakan sedikit sesi perkongsian bersama para pelajar sementara menunggu makanan tengah hari mereka siap disediakan oleh pihak kantin sekolah. Sesi perkongsian itu meliputi tips untuk berjaya dalam peperiksaan dan juga cara belajar yang paling efisien. Pada pukul 12.30 tengahari, para pelajar telah dilepaskan untuk berehat, makan tengahari serta solat zohor.

            Para pelajar telah berkumpul semula di dewan pada kira-kira pukul 2 petang dan aktiviti diteruskan dengan indoor games. Antara indoor games yang telah kami kendalikan ialah ‘ujian pendengaran’, ‘Bumi Itu Bulat’, ‘Black Magic’ dan juga ‘ujian penglihatan’. Tujuan ‘indoor games’ ini adalah untuk menguji dan mengasah minda mereka di samping mengajar mereka untuk tidak mudah mengalah atau berputus asa. Sesi ini telah dikendalikan oleh 5 orang fasilitator sementara fasilitator yang selebihnya terus ke kantin sekolah bagi menyambung kerja-kerja menyiapkan barang hiasan dewan. Kami telah mula menulis senarai pengetua-pengetua SK telok Pial, visi dan misi, dan sejarah SK Telok Pial di atas papan yang telah kami cat hitam.














            Pada bahagian petang pula, kami telah mengadakan ‘outdoor games’ di padang sekolah. Outdoor games yang telah dijalankan ialah belon air beracun dan empangan pecah serta permainan lain. Kami menjalankan aktiviti ini dengan objektif memupuk semangat kesukanan dalam diri para pelajar, memupuk semangat berpasukan dan mengasah minda para pelajar dalam menyusun strategi. Pada awalnya kami bercadang untuk menamatkan aktiviti pada pukul 5.30 petang. Tetapi, oleh kerana para pelajar sangat gembira dan bersemangat, kami bersutuju untuk melanjutkan permainan tersebut selama 30 minit. Ketika outdoor games sedang berjalan, beberapa orang AJK kami telah tinggal di dewan untuk mengecat semula gelanggang badminton yang sudah pudar. Aktiviti-aktiviti tersebut telah tamat pada jam 6 petang dan semua pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Kami juga bertolak pulang semula ke rumah keluarga angkat kami untuk berehat.















            Setelah berehat dan selesai menunaikan solat, lebih kurang pukul 8 malam, kami berkumpul di ruang makan bagi menikmati hidangan makan malam yang telah disediakan oleh keluarga angkat kami iaitu nasi putih, siakap steam, sayur goreng, sambal dan sebagainya. Lebih menyeronokkan lagi, kami juga berpeluang merasai makanan yang jarang dapat kami nikmati iaitu ikan pekasam. Ia juga merupakan pengalaman pertama bagi salah seorang AJK kami yang berbangsa Cina bagi menikmati masakan-masakan Melayu terutama sekali pekasam kerana ia merupakan makanan yang jarang dapat ditemui di Kawasan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sambil menikmati hidangan, kami juga sempat berramah mesra dengan keluarga angkat kami. Bapa angkat kami telah berkongsi banyak cerita dan pengalaman hidupnya termasuk nasihat-nasihat yang berguna dan tips untuk berjaya dalam hidup. Setelah selesai makan, kami bersama-sama mengemas dan mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan.

            Kira-kira jam 10.30 malam, kami mengadakan sedikit perbincangan supaya aktiviti yang telah kami cadangkan untuk hari keesokannya berjalan dengan lancar. Kami juga telah bekerjasama menyediakan hamper-hamper untuk diberikan semasa slot penyampaian hadiah semasa Majlis Penutup. Kami bersurai untuk berehat dan tidur kira kira pada 11.30 malam.




Share: